Tempat Sejarah di Kampung Mengkasar Pekan, Pahang
Tempat
Sejarah di Kampung Mengkasar
Makam Ziarat
Raja Raden
Makam Ziarat Raja Raden dilihat agak penting dalam
sejarah dan kebudayaan Islam di Pahang.
Antara yang dimakamkan di sini adalah Raja Fatimah
puteri kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Melaka ketujuh (1477-1488
Masihi). Raja Fatimah adalah isteri kepada Sultan Abdul Jalil (Jamil). Tarikh
batu nisan Raja Fatimah bertulis 15 Syawal 900 Hijrah bersamaan 7 Julai, 1495
Masihi.
Sultan Abdul Jalil (Jamil) Sultan Pahang ketiga, merupakan
putera Sultan Muhammad Shah, Sultan Pahang pertama (mangkat pada 1475 Masihi).
Sultan Melaka, Sultan Mahmud telah menghantar orang besar baginda yang bergelar
Seri Dewa Raja pergi ke Pahang meraja dan menobatkan Sultan Abdul Jamil Shah
sebagai Sultan Pahang. Sultan Abdul Jamil berkahwin dengan Raja Fatimah sepupu
baginda dan kakak kepada Sultan Mahmud. Pada masa Sultan Mahmud Shah di Pahang
(tahun 1511-1512) Sultan Abdul Jamil mangkat pada 917 Hijrah bersamaan 1511
Masihi dan turut dimakamkan di sini. Mengikut Bustanu’s Salatin, bagindalah
yang disebut Marhum Ziarat. Batu nisan yang dipercayai batu nisan makam baginda
itu, telah dijumpai dekat makam isteri baginda Raja Fatimah.
Makam Tok
Tuan
Tok Tuan atau nama sebenar beliau adalah Kraeng
Agang Jene Muhammad Naziruddin, anakanda Sultan Alamuddin La Patau Matana Tikka
yang memerintah Bone 1696-1714, sebuah kerajaan besar Bugis. Sultan Alamuddin
adalah putera kepada Sultan Gowa.
Makam
Chondong
Makam Chondong menjadi salah satu makam penting
kerana ia merupakan testimoni kepada hubungan erat yang pernah terjalin di
antara Pahang dan Aceh pada abad ke-17 Masihi. Keberadaan batu-batu nisan ini
dicatatkan dalam Kitab Bustanu’s –Salatin yang ditulis oleh Sheikh Nuruddun
ar-Raniri yang mengisahkan bagaimana Sultan Iskandar Thani telah memerintahkan
Orang Kaya Maharaja Seri Maharaja, Orang Kaya Laksamana Seri Perdana Menteri
dan Orang Kaya Lela Wangsa bertolak ke Pahang untuk meletakkan batu nisan pada
makan ayahandanya. Hal ini kerana semasa penaklukan Pahang, Sultan Iskandar
Thani telah dibawa lari ke Acheh dan masih berumur tujuh tahun. Oleh yang
demikian, baginda telah memerintahkan pembesar-pembesarnya meletakkan batu
nisan di makam-makam keluarganya di Pahang.
Menurut cerita orang tua-tua dahulu, pada suatu
hari pada tahun 1906, sekumpulan gajah sedang melintasi sebuah tanah perkuburan
lama yang terletak di Kampung Mengkasar. Tiba-tiba seekor daripada gajah-gajah
itu telah naik minyak dan menyondol batu-batu nisan yang terdapat di makam itu,
menyebabkan ia condong dan pecah.
Kejadian itu berlaku sewaktu gajah-gajah itu sedang
menarik kayu-kayu untuk dibawa ke tapak istana Tengku Besar Mahmud. Pada masa
itu, kerja-kerja membina istana Tengku Besar Mahmud sedang rancak dijalankan
dan memerlukan banyak gajah untuk menarik kayu-kau tersebut.
Disebabkan batu nisan itu pecah dan condong, lalu
makam tersebut dinamakan Makam Chondong. Makam ini merupakan makam diRaja
paling tua di negeri Pahang selain dari Makam Sultan Muhammad Syah, Dusun Pinang,
Pahang Tua dan Makam DiRaja Kampung Marhum.
Antara yang dimakamkan di sini adalah Sultan Abdul
Ghafur Muhiyuddin Shah (Marhum Pahang), Raja Muda Abdullah (Marhum Muda Pahang)
dan Puteri Bongsu Chendera Dewi.
Makam
Nibong @ Tembuni
Pada masa dahulu, makam ini disebut Makam Tembuni. Makam
ini terletak di Kampung Mengkasar di mana terdapat beberapa buah batu nisan
Acheh bertulisan khat dan batu nisan ini mempunyai persamaan dengan makam Ziarat
Raja Raden di Jalan Tok Tuan, Kampung Mengkasar.
Menurut ahli sejarah, antara yang dikebumikan di
makam ini ialah Sultan Zainal Abidin (marhum di Bukit) Sultan Pahang ke tujuh
yang telah mangkat pada tahun 1555 Masihi. Selain dari itu, kerabat-kerabat
baginda yang terdiri dari Sultan Mansur Shah II (Sultan Pahang ke lapan,
mangkat pada tahun 1560 Masihi), Sultan Abdul Jamal (Sultan Pahang ke Sembilan)
dan Sultan Abdul Kadir (Sultan Pahang ke sepuluh, yang mangkat pada tahun 1590
Masihi).
Di antara yang dikebumikan di Makam Nibong ialah
keturunan Sultan Brunei yang berkahwin dengan Sultan AbdulGhafur Muhiyuddin
Shah, Sultan Pahang ke-12, pada tahun 1584, sebelum dimasyurkan sebagai Sultan
Pahang. baginda telah beristerikan seorang adinda kepada Raja Petani (raja
perempuan) dan beristerikan juga seorang anak raja Brunei. Sultan Abdul Ghafur
juga telah mengahwinkan adinda baginda, Raja Ahmad (Sultan Pahang ke-12) dengan
Puteri Bongsu Chendera Dewi, anak Raja Kasab Siak yang telah dijadikan anak
angkat oleh baginda dan lahirlah Raja Mughal (Raja Mughal inilah kemudiannya,
pada tahun 1641 menjadi Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani). Seorang
lagi isteri kepada anak Raja Brunei dipercayai anak Sultan Hasan dan melahirkan
seorang anak perempuan kemudiannya bersuamikan Raja Abdullah Johor (Sultan
Abdullah Ma’ayah Shah) berputerakan Raja Bajau. Dalam tahun 1612, masa Sultan
Alauddin Riayat Shah III (Raja Mansur) memerintah Johor dan Sultan Abdul Ghafur
di Pahang, Sultan Alauddin serta rombongan dari Johor telah berangkat ke Pahang
kerana hendak mengahwinkan seorang daripada putera baginda dengan puteri Sultan
Pahang. dalam satu majlis, puteri Sultan Brunei menantu Sultan Pahang telah
mempersilakan Sultan Johor pada jari tangan menantu Sultan Pahang itu ada
sebentuk cincin mutiara yang besar dan sangat cantik rupanya. Sultan Johor
sangat berkenan kepada cincin itu dan meminta untuk membelinya dengan harga
yang mahal, tetapi putera Raja Brunei tidak mahu menjual cincinnya. Sultan
Johor sangat murka dan membawa orang baginda kembali ke Johor dan perkahwinan
itu dibatalkan.
Dalam bulan September 1612, angkatan perang Sultan
Johor telah menyerang dan membakar kampong di Pahang dan juga membakar sebuah
kampong yang bernama Kampung Cina, ramai rakyat Pahang telah mati terbunuh dan
ditimpa malapetaka, harta benda mereka telah rosak binasa sehingga rakyat
Pahang menderita kebuluran makanan. Sultan Pahang dan menantunya berundur ke
kawasan pergunungan yang mengandungi emas. Raja Brunei kekanda kepada isteri
Sultan Pahang telah datang membawa angkatan perangnya dan telah berjaya
memerangi dan menghalau angkatan Sultan Johor. Raja Brunei telah mengambil
adiknya isteri Sultan Pahang dan dibawa balik ke Brunei. Sultan Pahang juga
turut sama pergi ke Brunei dan telah meninggalkan putera sulung Raja Muda
Abdullah menjalankan pemerintahan di Pahang. dalam tahun 1614, Sultan Abdul
Ghafur dan Raja Abdullah telah mangkat di bunuh oleh putera baginda yang kedua,
yang tidak diketahui namanya.
Surau Tok
Tuan
Istana Melati
Istana Melati dibina pada tahun 1966. Istana ini
terletak di Kampung Mengkasar dan menjadikan kediaman YH Dato’ Maria Menado
yang ketika itu isteri kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin
Al-Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah.
Istana ini telah dibina sebagai kediaman sementara
bagi menggantikan Balai Gambang yang telah terbakar pada tahun 1967.
Comments
Post a Comment